Tuesday, 30 December 2014

Pindah Bilik Air

Antara masalah yang utama ketika aku mula berpindah ke rumah ini ialah dapur yang kecil dan bilik utiliti yang kecil. Serba salah dibuatnya dengan bilik sebesar 8" x 8". Nak jadikan stor, sayang. Nak gunakan untuk tidur, kecil sangat. Jadikan bilik solat, tak selesa la pulak. Lebih selesa solat kat ruang tamu.

Fikir punya fikir akhirnya aku buat keputusan untuk alihkan bilik air aku. Idea aku ialah pecahkan bilik air sedia ada untuk jadikan dapur lebih luas dan tukar bilik utility jadi bilik air, bawah tangga aku jadikan stor.

Kerja keras jugak la nak bagi idea aku ni jalan. Mula-mula aku tebuk lubang di semua paip sedia ada untuk dapatkan maklumat tentang paip yang ada dalam dinding. Bila aku dah dapat tebuk semua lubang paip, aku terbalikkan arah paip tu. Jadi aku tak ganggu saluran paip sedia ada, cuma tukar ke arah lain je. Cuma cabaran yang paling besar ialah untuk alihkan tandas. Sebenarnya tandas pun guna taktik yang sama. Kalau nak guna balik mangkuk yang lama tu kena ketuk hati-hatilah, untuk elakkan pecah. Kalau pecah, secara automatik kos bertambah sekurang-kurang RM100.00.


Jadi aku tebuk lantai dan dinding untuk membolehkan aku sambungkan paip septik dari bilik utiliti tu ke saluran septik yang asal. Lepas semuanya dalam kekudukan yang sempurna, tugas aku ialah menutup tingkap sedia ada menjadi dinding. Lepas tu, pasang tiles lantai dan dinding. Cat dan siap.

Sorry la, aku tak de ambik la pulak gambar bilik air asal. Gambar kat atas tu semua bilik utiliti yang aku dah transform jadi bilik air. He..He..besar bilik air aku sekarang. Anak-anak aku la yang paling happy, tak habis-habis bergurau dalam bilik air. Mama diaorang pulak happy sebab dapur dah ada extra 4 kaki. So takde la nak masak, kena ambil sayur dari peti sejuk yang letak kat ruang tamu.

Kalau korang nak tau bilik air asal kat sebelah kanan dinding, aku gunakan semua alatan bilik air asal untuk buat bilik air ni, yang baru cuma tiles. Tandas, sinki, tempat toilet roll, tempat sabun, paip semua aku import dari bilik air asal. Jimat beb.

Macam senang je kan. Tapi sebenarnya agak complicated jugak. Aku rasa aku siapkan ni dalam 2 hingga 3 bulan. Lamakan? Alah biasala..tukang hujung minggu.

Thursday, 25 December 2014

Jom Buat Pagar Sendiri

Pagar asal rumah yang aku beli ni amatlah simple. Cuma pagar BRC hijau dengan pintu pagar yang ala kadar dengan tong sampah tetap dan peti surat macam kebanyakan rumah teres yang lain jugak. Dengan harga rumah yang sederhana di Lembah Klang, rasanya inilah yang terbaik yang dapat dibuat oleh pemaju untuk marhain macam aku ni.  Tetapi pagar jenis ini mendatangkan masalah akibat mudah dimasuki pencuri selain tidak kukuh.

Aku mula bercadang untuk membuat pagar batu ni setelah jiran aku yang pada ketika itu mula membela anjing. Maklumlah kat tepi pagar yang berkongsi tu la tempat anak-anak bermain selain tempat aku menjemur pakaian. Kadangkala risau jugak aku tengok anak aku macam geram je nak pegang anjing dia yang berbulu lebat tu.

Risau juga,selain keselamatan, pakaian yang kita jemur tu kita guna untuk solat, lepas tu anjing tu pulak suka membuang najis merata-rata. Bila aku tanya pada kawan-kawan yang pernah buat pagar batu ni, kosnya agak mahal jugak. Dengan panjang pagar 12 kaki, anggaran harga pagar termasuk upah ialah RM3500 ke RM5000. Pergh...banyak tu.


Kalau ikut kiraan aku kos bahan-bahan sekitar RM500.00 je. Besi sikit,batu bata, pasir, simen. Kos yang paling banyak masa dan tenaga je la. Aku bercadang untuk membuat pagar dengan tiang di kiri kanannya. Jadi kalau nak kenduri kendara pada masa depan, boleh la aku buka habis pagar. Jadi tak mengganggu majlis.


Mula-mula aku buka pagar asal, potong tiang besi hijau tu dan gali parit sedalam 1" untuk buat beam. Pagar dan besi tu boleh jual kat lori besi buruk untuk buat modal beli bata. Haha..jimat kos beb. Lepas tu ikat besi tetulang, masukkan dalam parit tadi, kemudian konkritkan.
Keesokkannya, dah boleh mula ikat bata, buatlah ikut design yang kita nak. Kerja pagar ni aku buat lama jugak. Dekat sebulan lebih jugak. Maklumlah, tukang hujung minggu. Lagipun pagar ni kan kat depan, kena la cermat sikit, kalu tak cantik nanti hari-hari tengok, sakit hati la pulak. Lepas siap ikat bata, plaster, lepas tu cat. Siap.


Untuk tiang tu, cara buatnya sama jugak dengan buat pagar, aku ikat batu keliling, sumbatkan batu dan pasir lebihan sebelum aku curah konkrit kat sebelah atas untuk jadikan dia tiang solid. Tong sampah pulak aku guna ukuran asal, cuma aku alihkan ke kedudukan baru. Pintu guna yang lama punya. Tiles dalam tong sampah guna yang lebih lama punya. Ni lah kelebihan bila bertukang sendiri. Ikut selera kita nak buat macam mana.


Yang paling mahal pintu pagar. Yang ini harganya macam-macam ikut saiz, tinggi, design, jenis besi dan jenis cat. Tapi dah jimat la kan, boleh gunakan penjimatan tu untuk buat pintu pagar.

Wednesday, 24 December 2014

Siling Plaster

Pernah tak korang tanya quotation kalau nak buat siling plaster. Mahalkan? Sebenarnya yang mahal dalam pemasangan  siling plaster bukanlah  disebabkan  oleh materialnya  tapi kepakaran tukang yang menjadikan siling  rumah korang cantik. Satu ketika dulu aku pun menyangka  material untuk siling plaster ni mahal. Sebenarnya tak la sangat.

Dalam memasang siling plaster ni, lebih kurang macam pasang tiles jugak. Apa yang penting ialah level. Mesti rata dan seimbang. Jadi untuk buat siling plaster ni, persiapan yang perlu ada sebelum memulakan projek ialah hose getah transparent, marker, skru, drill, stopping (bahan pelekat), fibre glass, plaster putih (biasa kat hardware di panggil ASG) dan tangga.

Cara macam mana nak buat nanti aku terangkan kat posting yang lain kot. Panjang tu ceritanya. Hari ni kita cerita pasal projek pertama aku buat siling plaster. Kira ni macam tikus makmal aku la ni. Maklumlah tak pernah buat, pernah la tengok orang buat tapi tak pernah cuba. Untuk makluman korang, aku memang dah lama teringinkan siling plaster ni tapi harga untuk memasangnya yang mahal membuatkan aku pendam je keinginan aku ni. Sampailah pada suatu hari aku duduk bersembang dengan seorang kawan (kontraktor binaan) tentang siling plaster.


Dia kata sebenarnya material siling plaster ni tak la mahal mana, tapi nak membuatnya tu leceh, perlu sabar sebab banyak kerenah menyebabkan ianya mahal. Bayangkan untuk buat siling kat ruang tamu biasanya kontaraktor letak harga RM1000 hingga RM3000 bergantung pada design dan keluasan. Fuh tak tergamak aku nak spend banyak tu cuma untuk siling. Jadi aku mulalah cari bekalan material untuk siling plaster ni. Ada kawan bagitau kat area Puchong Utama ada kedai plaster siling yang murah. Apa lagi, jadi projek hujung minggu aku la nampaknya.

Sampai di kedai tu aku mula semak harga.  Ya Rabbi murah gila rupanya material untuk siling plaster ni. Bayangkan sekeping cornice untuk tepi dinding tu baru RM3.50 hingga RM5.50 sekeping. 8 kaki. Kalau ruang tamu paling banyak 10 keping. Siling flat tu sekeping RM 7.00, 6" x 4". Aku pun apa lagi, beli la. Tapi tak banyak sebab cuma nak buat experimen. Beli dua keping cornice untuk dinding. Sebab aku nak cuba buat dalam bilik air master bedroom aku. Eksperimenkan, kalau salah pun aku sorang yang nampak.


Mula-mula tu susah jugak sebab tak tau trick dia, tapi bila dah dapat dia punya skill, habis bukan setakat bilik air, master bedroom pun aku buat siling plaster.

Gambar kat atas tadi master bedroom, aku siap bubuh bucu dengan renda tengah lg. Murah je yang tengah tu RM55.00, 3 kaki diameter. Tapi nak pasang dia, sengsara. Maklumlah sorang, berat tu. Yang bawah ni pulak gambar bilik air, first project aku pasang siling plaster.


Jadi pada sesiapa yang minat bertukang macam aku, dan nak cuba pasang siling plaster, bolehlah mencuba. Tak rugikan. Kalau kurang cantik sikit pun tak pe la, rumah sendiri, apa ada hal.



Tuesday, 23 December 2014

Partition Dapur

Dapur merupakan kawasan yang biasanya paling huru-hara dalam sesebuah rumah. Yang palin tidak selesa adalah apabila rumah yang kita beli mempunyai dapur yang bergabung dengan ruang tamu. Itulah apa yang berlaku pada aku semasa aku mula-mula menduduki rumah ini.
Dengan keluasan rumah yang kecil, dapur pulak bergabung dengan ruang tamu, memang agak menyesakkan terutamanya apabila ada tetamu yang datang. Apa taknya, nak bancuh air pun tamu dah tau air apa yang nak kita bancuh. Jadi bagi mengatasi masalah tu, apa lagi, seperti biasa pak tukang mula beraksi.

Beginilah lebih kurang rupa ruang dapur asal aku.


Ada ruangan lebih kurang 8"x 8" sebab tandas dan bilik utiliti dibuat sebaris dengan dapur ni. Jadilah dapur yang menganga menghadap ke ruang tamu.

Untuk menutup ruangan yang ternganga tu, aku cadang nak buat pintu gerbang saiz standard dengan hiasan kaca di kiri dan kanannya. Jadi, aku perlukan sedikit batu bata, cornice separuh bulatan dan kaca-kaca hiasan, simen dan pasir.

Mula-mula aku pecahkan sedikit bahagian tepi yang akan aku sambungkan dengan dinding yang baru bagi membolehkan simen melekat pada dinding asal. Lepas siap ikat bata setinggi pintu aku pasangkan cornice yang aku beli. Lepas tu, plaster. Projek ni aku siapkan dalam dua hari hujung minggu.

Jadi taklah nampak ternganga sangat dapur tu. Lepas semuanya selesai, cari balik tong cat warna asal yang lebih tu dan sapukan.

Hasilnya, amacam.. boleh la, hasil kerja tangan sendiri. Taklah cantik macam professional yang buat, tapi puashati.

Kos tak sampai RM300.00, cubalah. Tengok hasil yang dah siap.







Sunday, 21 December 2014

Memasang Jubin

Memasang jubin sebenarnya bukanlah kerja yang rumit, cuma ketelitian amat perlu untuk mempastikan hasilnya kemas dan nampak profesional. Aku belajar memasang jubin ni berdasarkan pemerhatian dan perbualan dengan teman-teman dan saudara yang kebetulan pernah berkecimpung dalam bidang pemasangan tiles ni.

Mula-mula agak risau juga memandangkan aku tak ada pengalaman dalam memasang jubin selain kos yang aku fikir mungkin agak besar. Maklumlah jubin ni kalau pecah tak boleh sambung, lainlah kalau kerja kayu, silap boleh sambung balik walaupun tak berapa cantik.

Dipendekkan cerita aku mula mencari jubin dikedai perkakasan yang dekat dengan taman perumahan aku tinggal. Alah, cari yang reject je, sebab baru nak belajar. Projek pertama aku adalah upgrade perch aku daripada simen render kepada jubin. Rupanya jubin ni kalau yang reject murah je. Kalau macam yang aku beli 1" x 1" baru RM1.00. Bolehlah.

Aku mula memikirkan corak yang aku nak buat pada jubin yang bakal aku pasang. Kalau nak yang sama warna memang senang, tapi kita yang buat sendiri, buat la yang canggih sikit. Entah macam mana, satu hujung minggu tu aku pergi ke Giant Putra Height, dan terlihat satu corak yang menarik perhatian aku. Apa lagi, mula la aku berkarya untuk aku gunakan corak tersebut kat porch rumah aku.


Nak pasang tiles ni, yang paling penting adalah level dan centre. jadi mulakan pasang tiles pada titik paling tengah pada rekaan kita. Tarik dua benang dari empat penjuru dan dapatkan titik tengah projek kita. Dari situlah kita mulakan untuk memasang tiles. Tiles pertama yang dipasang ini cukup penting. Kena betul-betul level, kalau senget nanti tiles yang berikutnya akan ikut senget seperti tiles yang pertama. Ini dia punya tricky la. Jangan risau, beli timbang air, dan ia boleh digunakan sebagai panduan sama ada tiles yang kita pasang tu level ke tidak.

Lepas tu tiles yang lain akan ikut je tiles yang pertama tadi. Pastikan semua tiles yang dipotong adala yang dibahagian tepi sekali sebab biasanya dinding rumah pasti akan ada yang lari ukurannya. Jadi semua kecacatan akan dapat kita hilangkan sebab ianya di bahagian tepi.

Untuk membancuh simen pulak, dulu aku pun tak tau. Tapi sebenanya senang je, beli simen biasa dan simen gam. Masukkan air dalam bekas pastu taburkan simen tadi berselang-seli hingga simen melebihi paras air. Biarkan seketika untuk pastikan air meresap pada semua simen yang di atas. Bile dah meresap, bolehlah kita mulakan proses memasang tiles. harga simen pun tak de la mahal sangat. Simen biasa harganya dalam RM18/beg 50kg, manakala simen gam RM15/beg 25kg.

Jadi kos untuk naik taraf porch aku ni lebih kurang RM500.00 je. Murahkan? Kalau upah kat budak Indonesia mau kena dua atau tiga kali ganda ni. Untuk yang berani, boleh la cuba.

Transformation Kolam Kepada Tempat Bersantai


Lepas aku kambus semula kolam mini aku, tempat tu jadi kosong la pulak. Aku mula mencari idea untuk menjadikan kawasan ini lebih menarik. Salah satu kegemaran aku selain bertukang dan memasak ialah lepak kat luar rumah, bersantai sambil tengok pokok-pokok bunga yang aku dan wife tanam.

Satu petang waktu aku sedang bersiar-siar bersama anak - anak ke taman permainan, aku terpandang payung taman di halaman  rumah jiran. Secara tiba-tiba timbul la idea untuk meletakkan payung dan kerusi taman di laman aku.

Menarik jugak ni. Aku mula mencari idea untuk aku adaptasi  apa yang aku inginkan dengan  keluasan  tanah yang aku ada. Maklumlah halaman rumah aku ni, jangankan sekangkang kera, kera kangkang pun tak berapa nak lepas.

Setelah semuanya beres,  aku memulakan  eksplorasi  Sungai Buloh seperti biasa untuk bekalan rumput dan payung serta kerusi taman. Payung aku beli dengan harga RM350 manakala set kerusi taman tu sekitar RM320.

Aku mula mengambus kolam mini aku untuk ganti kan dengan tempat bersantai di luar rumah. Batu yang aku gunakan sebagai 'water features' aku jadikan tempat menanam pokok periuk  kera yang dihadiahkan adik ipar semasa dia ke Cameron Highlands. Selain itu aku susun pokok - pokok yang sesuai untuk aku jadikan sebagai latar belakang tempat santai aku.

Nak kambus ni tak la susah macam nak buat, cari batu-batu terpakai sumbatkan dalam kolam tu, lepas tu tutup bahagian atasnya dengan pasir dan tanah untuk tanam rumput. Siap.


Lepas ni kena settle tangga pulak. Bahaya betul design asal tangga rumah aku. Anak sulong aku pernah jatuh tangga ni sampai patah tulang selangka 'collar bone'.

Tangga Oh Tangga

Pertama kali aku sampai ke rumah  ni, aku dah dapat rasa yg tangga ni akan mendatangkan  masalah. Bahaya betul  design  asal  tangga  rumah  aku  ni .  Maklumlah dengan struktur besi dan mata tangga kayu tanpa sebarang   halangan, anak kecik pasti boleh terjerlus  ke celah tangga ni kalau tersalah  langkah .

Pada mulanya aku tanyakan  pada kontraktor kos kalau  aku  nak  buat  tangga  konkrit . Masa tu kosnya dekat RM7 ribu.  Fuhh . ..dah la baru selesai semua belanja nak pindah rumah,  parah ni.


Akhirnya aku buat keputusan  untuk modifies sendiri tangga tu. Maklumlah  masa tu anak aku yang sulong tanah ligat.  Kalau  jatuh boleh patah aku rasa sebab  tangga tu agak tinggi jugak. Lebih  12 kaki tingginya . Jadi cara yang paling mudah aku gunakan plywood untuk menutup  ruang  antara  mata tangga.

Aku ukur  panjang  dan  lebar  ruang tu. Lepas  tu aku potong  plywood  mengikut  ukuran aku. Dengan menggunakan  skru   dan drill aku skrukan  plywood tu dengan rangka asal tangga. Nak bagi nampak sama dengan mata tangga aku sapukan  varnish  yang sama warna dengan mata tangga. Hasil ya. .pergh seolah-olah  macam yang asal..


Lega aku bila projek tangga ni siap. Selain keselamatan, akau dapat menyelesaikan masalah tangga ni dengan kos kurang RM300. Bahan yang aku beli, kayu 2' x 1', plywood, skru, paku dan varnis. Drill dan lain-lain alat tukang tu memang aku dah ada.


Tapi masalah bunyi bila turun naik tangga tu memang tak dapat nak elak la. Apa nak buat.

Friday, 19 December 2014

Mini Kolam Ikan

Kolam ikan mini ni aku buat memandangkan ada ruang kosong di belakang tong sampah dan peti surat. Ruang kosong ni lebih kurang 6" x 8". Aku rasa kalau aku buat kolam ikan menarik jugak, sekurang-kurangnya ada jugak aktiviti kat luar rumah sambil-sambil bercucuk tanam.


Untuk memudahkan kerja aku plan untuk buat kolam berbentuk empat segi sama aje. Aku pun mula la menggali dengan cangkul kecil yang aku beli dari hardware. Mujur la kawasan baru jadi takde keras sangat tanahnya. Aku gali lebih kurang 1.5" dalam.

Lepas tu kolam tu terbiar agak lama memandangkan aku agak sibuk dengan urusan yang lain. Kebetulan pulak musim hujan, nak dijadikan cerita, tebing kolam tu terhakis sikit menjadikan dinding kolam tu agak landai. Ah..lantaklah..landai pun cantik jugak aku rasa.



Lepas tu aku pun konkritkan lantai dan dinding kolam. Masa aku konkrit kolam ni ada la budak-budak Indonesia yang kerja kontrak tegur, katanya kalau tak nak bagi bocor campurkan simen konkrit dengan latex yg jual kat kedai hardware. Aku mana la tau. Tapi alhamdulillah, tak bocor la pulak kolam aku ni.


Masa kolam ni siap anak sulong aku baru umur 3 tahun, tapi umur kolam ni tak lama, aku dah kambus balik sebab masa baby aku yang ke 3 dah mula cerdik sikit, dia campak semua mainan dia dalam kolam ni. Yang tak boleh tahan teddy bear pun dia campak. Lagipon kalau nak buat kolam kat luar lebih baik buat siap dengan penapis sebab tak larat nak cuci lumut 'algae' yang tumbuh.


Ini la rupa kolam yang aku buat selepas siap, sejuk mata memandang. Modal yang besar untuk buat kolam ni ialah pam air dengan batu hiasan untuk air terjun tu la. 

Semuanya aku beli kat Sungai Buloh jugak. Biasa la mana lagi.







Thursday, 18 December 2014

Projek 1 - Menghias Halaman

Halaman rumah merupakan perkara pertama yang terlintas di fikiran aku dalam hobi bertukang ni. Memandangkan ianya adalah titik fokus bila sampai ke rumah baru, aku berpendapat yang halaman ini perlu diubahsuai. Lagi pun isteriku sukakan tanaman hiasan.

Disebabkan oleh halaman yang terlalu ringkas dengan binaan yang ala kadar oleh pemaju aku mengambil idea dari beberapa majalan dan juga rancangan television yang pernah aku tonton untuk menghasilkan halaman idaman ku.



Dengan budget yang kecil aku bercadang memulakan projek membina kolam ikan kecil dan jalan masuk kerumah agar kelihatan kemas dan teratur. Berbekalkan keyakinan dan sedikit semangat aku memulakan projek ini.

Aku menggunakan batu-batu kasar dan pasir yang dijual secara runcit dalam karung gula di kedai hardware. Simen dan juga besi BRC sebagai tetulang. Dengan menggunakan kayu terpakai, aku membuat acuan berukuran 2" x 2". Dengan menggunakan tiga acuan aku berjaya menyiapkan batu-batu untuk disusun dihalaman dalam masa dua minggu.

Setelah siap, batu-batu tadi aku susunkan dalam empat baris setelah aku meratakan pasir sebagai asas disebabkan aku bercadang untuk menanam rumpot dicelah-celah batuan tersebut. Akhirnya aku membeli rumput dari nursery di Sungai Buloh bagi melengkapkan projek aku.


Inilah projekpertama aku dalam mengubahsuai sendiri rumah. Insya Allah kalau ada kesempatan aku akan nukilkan pula projek projek aku yang lain dalam post yang akan datang.



PINDAH RUMAH BARU

Aku mula menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur pada tahun 2002. Lepas habis study aku bercadang untuk tinggal di kampung asalku di Muar, Johor. Tapi kita merancang dan Allah juga merancang, pada awal tahun 2002 kilang tampat aku bekerja menghentikan operasi kesan dari masalah ekonomi 1997 & 1998. Aku berpindah mengikut arahan syarikat tempat aku bekerja untuk ke Kuala Lumpur. Dengan gaji yang tak seberapa aku memulakan langkah baru dalam hidupku berhijrah ke Kuala Lumpur.

Pada mulanya aku menyewa rumah milik abang di Puchong. Setelah dua tahun aku tinggal disitu aku telah memberanikan diri untuk memiliki rumah sendiri di Bandar Saujana Putra, sebuah perumahan baru berhampiran dengan Putrajaya. Rumah tersebut taklah besar sangat tapi Alhamdulillah selesa untuk aku hidup sekeluarga 5 beranak.

Rumah teres 4 bilik dengan 3 bilik air berukuran 18' x 55' ini telah aku diami semenjak tahun 2007. Pada awalnya kemudahan disini amatlah dhaif. Tanpa jalan penghubung, klinik, balai polis dan serba-serbinya tiada aku akui agak khuatir pada mulanya tinggal disini. Memandangkan hanya perumahan disini yang aku rasa mampu untuk memiliki rumah teres aku cekalkan hati dan kini setelah lebih 4 tahun tinggal disini aku merasakan telah selesa dengan  persekitaran tempat tinggalku.

Rumah ini aku beli pada awal 2004 dengan harga kurang dari RM120,000.00, agak kecil dengan keluasan binaan 18' x 35'. Rumah ini pada awalnya siap dengan binaan yang asas. Tangga kayu, simen render pada ruang hadapan, dapur yang kecil, bilik utility yang amat comel membuatkan aku berasa ada sesuatu yang perlu aku lakukan untuk menjadikan rumah ini selesa untuk didiami.

Bagaimanapun, kos menjadi halangan untuk aku membuat ubahsuai, maklumlah dengan belanja seharian dan anak-anak yang sedang membesar disamping aku bekerja seorang, banyak lagi keutamaan yang aku perlu berikan selain untuk mengubahsuai rumah. Justru aku mula menggunakan masa luangku pada hujung minggu untuk membuat ubahsuai rumah.


Aku bukanlah pandai sangat bab bertukang ni, tapi pernah juga aku menolong arwah bapa membaiki rumah kampung selain pergaulan dengan saudara mara dan rakan-rakan yang biasa bertukang. Tapi aku yakin yang aku mampu untuk merealisasikan apa yang aku impikan.

Justru bermulalah perjalanan aku menempuhi perjalanan sebagai TUKANG HUJUNG MINGGU.