Monday, 5 January 2015

Jom Buat Feature Wall Sendiri

Aku sebenarnya dah lama ada masalah dengan 'tiang seri' rumah aku ni. Mana taknya, kat tengah ruang tamu boleh ada pulak satu tiang yang agak mengganggu pemandangan. Nak buang tak boleh sebab mengganggu struktur bangunan, runtuh pulak rumah aku nanti.

Idea buat feature wall ni datang waktu aku beraya ke jiran beberapa tahun lalu, menarik jugak sebab selain dapat mengelakkan televisyen aku nampak bersepah, aku dapat menghilangkan tiang seri yang agak mengganggu pemandangan disamping dapat aku tutup ruang bawah tangga untuk aku jadikan stor. Aku minta izin jiran aku untuk gunakan idea konsep feature wall rumah dia untuk rumah aku. Terima kasih En. Nizam sebab membenarkan aku ciplak idea dia.


Mulanya aku bercadang untuk gunakan bata untuk buat feature wall ni macam yang jiran aku buat, tapi memikirkan tentang kos dan masa untuk membuatnya agak lama selain ianya kekal aku gunakan plaster board untuk menghasilkan feature wall yang aku impikan. Kalau pada masa hadapan rasa nak robohkan atau nak tukar idea lain, senang aku kerjakan. Jadi kira macam 3 dalam 1 la projek kali ni.

Jadi aku mula lah dapatkan materialnya. Macam biasa aku beli barang-barang kat kedai siling plaster kat Puchong Utama. Beli Plaster Board 3 keping, aluminium untuk frame, ASG, skru dan bermulalah projek aku. Selain tu, aku beli pintu kayu solid sebagai pintu stor. Kos semua lebih kurang RM500.00. Pintu solid tu yang mahal. 


Bila siap dapatlah aku feature wall dan stor selain tiang seri yang aku tak berapa minat tu dah dapat dihilangkan. Mulanya aku cat warna maroon, lepas tu wife aku kata dah bosan jadi dia yang pilih untuk pasang wall paper. Projek kali ni aku siapkan dalam 2 hujung minggu, wall paper tu aku pasang baru-baru ni je.


Sebenarnya bekerja dengan plaster board board ni agak senang dibandingkan dengan bata dan simen, dan hasilnya lebih kemas cuma taklah sekukuh bata, satu lagi susah nak gantungkan frame. Tapi mudah dan cepat siap. Amacam..ok tak? Boleh la..bukan kerja profesional..tukang hujung minggu je.. Jom cuba la..

Tuesday, 30 December 2014

Pindah Bilik Air

Antara masalah yang utama ketika aku mula berpindah ke rumah ini ialah dapur yang kecil dan bilik utiliti yang kecil. Serba salah dibuatnya dengan bilik sebesar 8" x 8". Nak jadikan stor, sayang. Nak gunakan untuk tidur, kecil sangat. Jadikan bilik solat, tak selesa la pulak. Lebih selesa solat kat ruang tamu.

Fikir punya fikir akhirnya aku buat keputusan untuk alihkan bilik air aku. Idea aku ialah pecahkan bilik air sedia ada untuk jadikan dapur lebih luas dan tukar bilik utility jadi bilik air, bawah tangga aku jadikan stor.

Kerja keras jugak la nak bagi idea aku ni jalan. Mula-mula aku tebuk lubang di semua paip sedia ada untuk dapatkan maklumat tentang paip yang ada dalam dinding. Bila aku dah dapat tebuk semua lubang paip, aku terbalikkan arah paip tu. Jadi aku tak ganggu saluran paip sedia ada, cuma tukar ke arah lain je. Cuma cabaran yang paling besar ialah untuk alihkan tandas. Sebenarnya tandas pun guna taktik yang sama. Kalau nak guna balik mangkuk yang lama tu kena ketuk hati-hatilah, untuk elakkan pecah. Kalau pecah, secara automatik kos bertambah sekurang-kurang RM100.00.


Jadi aku tebuk lantai dan dinding untuk membolehkan aku sambungkan paip septik dari bilik utiliti tu ke saluran septik yang asal. Lepas semuanya dalam kekudukan yang sempurna, tugas aku ialah menutup tingkap sedia ada menjadi dinding. Lepas tu, pasang tiles lantai dan dinding. Cat dan siap.

Sorry la, aku tak de ambik la pulak gambar bilik air asal. Gambar kat atas tu semua bilik utiliti yang aku dah transform jadi bilik air. He..He..besar bilik air aku sekarang. Anak-anak aku la yang paling happy, tak habis-habis bergurau dalam bilik air. Mama diaorang pulak happy sebab dapur dah ada extra 4 kaki. So takde la nak masak, kena ambil sayur dari peti sejuk yang letak kat ruang tamu.

Kalau korang nak tau bilik air asal kat sebelah kanan dinding, aku gunakan semua alatan bilik air asal untuk buat bilik air ni, yang baru cuma tiles. Tandas, sinki, tempat toilet roll, tempat sabun, paip semua aku import dari bilik air asal. Jimat beb.

Macam senang je kan. Tapi sebenarnya agak complicated jugak. Aku rasa aku siapkan ni dalam 2 hingga 3 bulan. Lamakan? Alah biasala..tukang hujung minggu.

Thursday, 25 December 2014

Jom Buat Pagar Sendiri

Pagar asal rumah yang aku beli ni amatlah simple. Cuma pagar BRC hijau dengan pintu pagar yang ala kadar dengan tong sampah tetap dan peti surat macam kebanyakan rumah teres yang lain jugak. Dengan harga rumah yang sederhana di Lembah Klang, rasanya inilah yang terbaik yang dapat dibuat oleh pemaju untuk marhain macam aku ni.  Tetapi pagar jenis ini mendatangkan masalah akibat mudah dimasuki pencuri selain tidak kukuh.

Aku mula bercadang untuk membuat pagar batu ni setelah jiran aku yang pada ketika itu mula membela anjing. Maklumlah kat tepi pagar yang berkongsi tu la tempat anak-anak bermain selain tempat aku menjemur pakaian. Kadangkala risau jugak aku tengok anak aku macam geram je nak pegang anjing dia yang berbulu lebat tu.

Risau juga,selain keselamatan, pakaian yang kita jemur tu kita guna untuk solat, lepas tu anjing tu pulak suka membuang najis merata-rata. Bila aku tanya pada kawan-kawan yang pernah buat pagar batu ni, kosnya agak mahal jugak. Dengan panjang pagar 12 kaki, anggaran harga pagar termasuk upah ialah RM3500 ke RM5000. Pergh...banyak tu.


Kalau ikut kiraan aku kos bahan-bahan sekitar RM500.00 je. Besi sikit,batu bata, pasir, simen. Kos yang paling banyak masa dan tenaga je la. Aku bercadang untuk membuat pagar dengan tiang di kiri kanannya. Jadi kalau nak kenduri kendara pada masa depan, boleh la aku buka habis pagar. Jadi tak mengganggu majlis.


Mula-mula aku buka pagar asal, potong tiang besi hijau tu dan gali parit sedalam 1" untuk buat beam. Pagar dan besi tu boleh jual kat lori besi buruk untuk buat modal beli bata. Haha..jimat kos beb. Lepas tu ikat besi tetulang, masukkan dalam parit tadi, kemudian konkritkan.
Keesokkannya, dah boleh mula ikat bata, buatlah ikut design yang kita nak. Kerja pagar ni aku buat lama jugak. Dekat sebulan lebih jugak. Maklumlah, tukang hujung minggu. Lagipun pagar ni kan kat depan, kena la cermat sikit, kalu tak cantik nanti hari-hari tengok, sakit hati la pulak. Lepas siap ikat bata, plaster, lepas tu cat. Siap.


Untuk tiang tu, cara buatnya sama jugak dengan buat pagar, aku ikat batu keliling, sumbatkan batu dan pasir lebihan sebelum aku curah konkrit kat sebelah atas untuk jadikan dia tiang solid. Tong sampah pulak aku guna ukuran asal, cuma aku alihkan ke kedudukan baru. Pintu guna yang lama punya. Tiles dalam tong sampah guna yang lebih lama punya. Ni lah kelebihan bila bertukang sendiri. Ikut selera kita nak buat macam mana.


Yang paling mahal pintu pagar. Yang ini harganya macam-macam ikut saiz, tinggi, design, jenis besi dan jenis cat. Tapi dah jimat la kan, boleh gunakan penjimatan tu untuk buat pintu pagar.